Jumaat, 5 September 2008

Lun Bawang



Suku Kaum Lun Bawang berasal dan tinggal dikawasan pedalaman tanah tinggi Borneo iaitu Kelimantan timur, Brunei, Sabah dan Sarawak.Di Sarawak, digolongkan dari masyarakat Orang Ulu.

Suku kaum Lun Bawang di Sabah lebih dikenali sebagai Lun Dayeh yang bermaksud Orang hulu atau pedalaman, (erti asal adalah mereka yang tinggal di hulu sungai.). Sementara di Sarawak dan Brunei mereka pula dikenali sebagai Lun Bawang yang bermaksud Orang tempatan atau orang pribumi.Suku kaum Lun Bawang yang dahulu dikenali sebagai Murut juga terdapat di sepanjang persisiran sungai Lawas, Trusan dan Limbang.

Sejarah asal penempatan awal suku kaum Lun Bawang ialah di tanah tinggi Kerayan Kelabit kawasan tengah utara Borneo. Mereka telah berhijrah ke Sabah, Sarawak dan Brunei sekitar abad ke-17 dan ke-18 akan tetepi kebanyakan mereka masih ada di Kelimantan.

Cara hidup dan bahasa suku kaum Lun Bawang dan Kelabit banyak persamaan.Ini dapat dilihat juga dalam cara mereka semasa menanaman padi bukit (tana luun) dan sawah padi(Lati ba').Nasi yang menjadi makanan mereka dibungkus dengan daun pisang atau itip dipanggil Nuba' Laya. Daging atau ikan yang telah diperam dengan garam serta disimpan didalam buluh selama lebih sebulan dipanggil telu' serta rasanya akan menjadi masam masam masin sangat digemari suku kaum Lun Bawang. Begitu juga dengan salai(narar) Mereka juga mendapat sumber garam dari telaga air masin yang lebih dikenali sebagai lubang main.

Dikawasan pedalaman menternak kerbau dan lembu menjadi sumber ekonomi sampingan serta menjadi hantaran mas perkhawinan pihak pengantin lelaki kepada keluarga pihak pengantin perempuan yang dipanggil purut.

Suku kaum Lun Bawang kaya dengan kraftangannya. Dahulu kala, Pakaian kaum lelaki diperbuat dari kulit kayu yang dipanggil kuyu talun. Kain yang dililit dikepala pula dipanggil sigar sementara cawat yang dipakai dipanggil abpar. Parang panjang yang diikat dipinggang dibawa untuk pergi berperang dipanggil pelepet. Bagi kaum wanita pula, mereka mengenakan pata dikepala, beret di pinggang,bane dileher dan gileng atau pakel di tangan serta lengan. Suku kaum Lun Bawang juga sangat popular dengan alat muzik yang diperbuat dari buluh. Mereka memainkan ini dalam kumpulan. Perempuan meniup suling dan lelaki meniup bass.

Di Sarawak bermula pada 1hb jun setiap tahun diadakan satu pesta yang dinamakan Irau Aco Lun Bawang dirayakan di bandar Lawas sempena perayaan hari Gawai Dayak. Semasa perayaan ini berlangsung pelbagai pertunjukan kebudayaan dari suku kaum Lun Bawang dapat disaksikan.

Pada umumnya suku kaum Lun Bawang beragama Kristen yang telah disebarkan oleh mubaligh kristen sekitar tahun 1928-1930an. Di Sarawak, Sabah dan Brunei majoriti mereka dari aliran Gereja Sidang Injil Borneo(SIB). Arwah Datuk Racha Umung adalah Presiden pertama SIB. Presiden SIB Sarawak, Pastor Kalip Basar yang telah terbunuh dalam nahas helikopter pada julai 2003 dan YB Judson Sakai Tagal menteri muda Sarawak juga terbunuh dalam nahas helikopter pada 2004 juga adalah dari suku Kaum Lun Bawang dan membuat nama Lun Bawang lebih dikenali di Malaysia.

Sistem pendidikan agak lewat sampai diantara suku kaum Lun Bawang. Namun begitu atas usaha yang berterusan ramai antara mereka berjaya menjadi golongan ahli profesional. Setakat ini ada lebih dari 10 orang peguam dari suku bangsa Lun Bawang.

Irau Aco Lun Bawang atau juga dikenali sebagai Pesta Lun Bawang merupakan satu acara kebudayaan kaum Lun Bawang yang diadakan pada awal bulan Jun setiap tahun bertempat di Lawas, Sarawak. Acara ini akan diadakan di Dewan masyarakat Lawas. Antara acara yang diadakan ialah "ngiup suling" atau pancaragam buluh, "Malem Padan Liu Burung idih Ruran Ulung" (malam kebudayaan untuk memperagakan pakaian tradisional serta perlawanan antara kampung atau daerah dalam sukan-sukan seperti bola sepak lelaki dan wanita, bola tampar, badminton dan bola baling. selain itu, pameran serta jualan barangan tradisional kaum Lun Bawang juga boleh didapati di luar dewan.

Tiada ulasan:

Share this blogs with your friends